Petang itu Farah duduk di meja belajar asrama, menyiapkan slide pembentangan untuk kelasnya esok. Angin bertiup perlahan melalui tingkap yang sedikit terbuka, sambil kedengaran pelajar lalu-lalang di koridor - latar biasa yang didengarinya setiap hari.
Telefon terletak di sebelah laptop, lama tak berusik, sekadar alat untuk dengar lagu instrumental supaya tak mengantuk.
Farah mencapai telefon dan membuka TikTok tanpa fikir panjang. menonton satu dua video, sekadar hiburan ringan. Tiba-tiba muncul satu video daripada rakan sekelasnya — Alia.
Dalam video ringkas itu, Alia bercakap tentang pengalaman dia gagal interview biasiswa, tapi cara dia cerita tenang dan jujur. Farah terdiam bila ternampak angka di bawah video itu.
1.2 juta tontonan.
Farah bersandar pada kerusi, keningnya sedikit berkerut. "Seriuslah… benda macam ni pun boleh cecah sejuta?" dia berbisik perlahan dengan rasa tidak percaya.
CUBA SAJA-SAJA
Malam itu Farah tidak dapat fokus pada slide pembentangannya. Fikirannya asyik teringat video Alia tadi. Bukan sebab kisah gagal interview itu, tetapi sebab angka di bawahnya. Angka yang seolah-olah menjadikan Alia seorang yang popular yang kata-katanya didengari ramai.
Farah menyandarkan telefonnya ke botol air sebagai tripod dan menekan butang "rakam" dan mula bercerita tentang pengalaman dia dimarahi oleh pensyarah masa semester lepas. Cerita spontan biasa yang tidak dirancang.
Selesai bercerita, dia merenung skrin telefon seketika sambil berfikir, post atau tidak? Aina yang baru masuk bilik perasan dia terpaku. "Kau buat apa tu dari tadi? Muka macam orang nak confess sesuatu."
Farah ketawa kecil. "Tak ada apa pun. Saja record cerita lama. Aku pun tak tahu kenapa." Akhirnya dia menekan post. Malam itu dia tertidur dengan telefon di tangannya.
Pagi esoknya, hidup dia mula berubah.
ANGKA YANG MENGUBAH CARA PANDANG
Farah terjaga apabila dia mendengar bunyi notifikasi bertalu-talu. Skrin telefon penuh dengan komen dan share. Video yang dirakamnya sambil duduk atas lantai semalam — telah mencecah 80 ribu tontonan.
Dia terus bangkit dari katil dengan jantung berdegup laju dan membaca komen satu demi satu. Ada yang kata dia relatable. Ada yang kata suara dia sedap didengar. Ada juga yang minta dia post lagi.
Segala hingar bingar daripada videonya mengejutkan Aina yang tidur di katil atas. "Kenapa bising sangat pagi-pagi ni?"
Farah memandang dia dengan mata yang masih terkejut. "Aina… video aku semalam tu. Ramai orang tengok!"
Aina mengambil telefon yang dihulurkan oleh Farah. "Eh bukan main. Kau tak plan pun kan?"
Farah menggeleng kepalanya perlahan, tetapi di dalam dadanya muncul perasaan yang baru — rasa suara hatinya didengari dan difahami. Dan hatinya mula berbunga.
DARI SUKA JADI KETAGIH
Beberapa hari selepas kejadian itu, Farah mula berfikir setiap apa yang berlaku dalam hidupnya sebagai "content". Pergi ke kelas? Boleh menjadikan video study vlog. Makan di kafe? Boleh menjadikan aesthetic post. Semasa dia berasa penat pun, mungkin itu pun boleh jadi topik motivasi.
Dia mula bangun awal, bukan untuk menyiapkan assignment, tapi untuk merakam cahaya pagi masuk bilik. Dia menyusun mejanya supaya nampak kemas dalam kamera walaupun almari dalamnya berselerak.
Pada suatu malam, Aina bersuara perlahan. "Farah, kau perasan tak sejak video tu viral, kau macam tak pernah betul-betul rehat?"
Mata Farah masih melekat pada telefonnya. "Ini peluang saya, Aina. Bukan senang nak dapat momentum macam ni. Kalau aku tak konsisten, orang akan lupa."
"Orang lupa tu normal. Tapi kalau kau yang hilang diri sendiri sebab nak orang ingat kau, tu macam mana?"
Farah tidak menjawab. Dia cuma menekan refresh.
PERBANDINGAN YANG SENYAP
Semakin angka followers bertambah, semakin kuat Farah membandingkan diri dengan orang lain. Dia tidak lagi terkejut macam hari pertama dulu, tetapi dia mula rasa tercabar.
Setiap kali dia nampak rakan ‘seperjuangan’ mendapat collaboration, jemputan event, ataupun hadiah PR box, hatinya resah sedikit. Dia mula mengira jumlah like orang lain dan membandingkan dengan ‘prestas’ dirinya. Kalau videonya kurang perform, Farah mesti berasa sugul sepanjang hari.
Satu petang di kafe, ada rakan sekelas berbual tentang internship. "Aku dapat offer dekat KL. Company besar sikit."
Semua mengucapkan tahniah. Farah senyum juga, tapi sebenarnya rasa cemburu muncul di dalam hatinya.
Aina perasan perubahan wajah kawannya. "Kau okay ke?"
Farah menarik nafas pendek. "Entahlah. Aku rasa macam semua orang bergerak laju sangat. Aku takut kalau aku berhenti kejap je, aku akan jauh ketinggalan."
RUMAH YANG MAKIN JAUH
Bila Farah balik rumah hujung minggu, ibunya menegur dengan cara yang sama seperti dulu, cuma kali ini Farah hampir tidak dengar. Dia sibuk merakam vlog "balik kampung vibes" dari dalam kereta, mengambil gambar lauk sebelum makan, malah merakam ibu dari jauh tanpa ibu menyedarinya.
Waktu makan malam bersama, ibu berhenti sekejap bila melihat gelagat Farah. "Farah, letaklah telefon tu sekejap. Dari tadi ibu bercakap, Farah cuma angguk je."
Farah meletakkan telefon bimbitnya ke tepi, tetapi jarinya masih resah. "Maaf ibu. Sekejap je. Ini pun kira kerja juga sebenarnya."
ibu mengulum senyuman lembut tapi ada kerisauan di matanya. "Kerja yang buat Farah tak dengar orang depan mata, itu kerja apa sebenarnya?"
Soalan itu tidak dijawab. Tetapi malam itu Farah menyedari, semakin lama dia merakam, semakin dia rasa tidak berada dalam momen itu.
MASJID DAN VIDEO YANG MENYENTAK
Beberapa hari kemudian, Farah duduk di tangga masjid kampus selepas solat Asar. Telefon di tangan, tetapi kali ini bukan untuk merakam. Dia skrol tanpa tujuan, sampai muncul satu klip ceramah pendek oleh seorang bernama "Aididitmyway" tentang "Mengukur diri dengan benda yang salah".
Aidid bercakap tenang dengan suara yang neutral bertanya satu soalan yang ringkas:
"Kenapa kita terlalu sibuk pastikan manusia nampak kita berjaya, tapi jarang tanya sama ada Allah reda dengan cara kita mengejar kejayaan itu?"
Farah berhenti skrol.
Buat pertama kali sejak videonya viral, dia berasa macam baru tersedar dari khayalannya.
RETAK YANG JELAS
Tekanan makin terasa apabila assignment nya tertangguh. Pensyarah memanggil namanya selepas kelas dan tanya kenapa grednya menurun dengan wajah yang menunjukkan kekecawaan.
Dalam perjalanan balik ke asrama, Farah membuka video viral pertama itu. Dia merenung wajahnya sendiri semasa itu — jujur meluahkan suara, tanpa memikirkan algoritma ataupun engagement.
Aina duduk di hujung katil waktu Farah masuk bilik. "Kau sedar tak kau dah lama tak cerita pasal apa kau sendiri rasa, semua benda sekarang pasal apa orang nak dengar?"
Farah duduk perlahan di hadapan Aina. "Aku takut saya akan menjadi gadis biasa semula."
"Biasa tu tak salah. Yang bahaya bila kita jadi orang lain sebab takut jadi diri sendiri." Aina membalas dengan senyuman yang lembut.
Kali ini, ayat itu tak berlalu begitu saja.
TAWARAN DAN DILEMA
Farah mendapat jemputan untuk menyertai satu pertandingan digital creator anjuran universiti yang dilangsungkan oleh seorang influencer, Aidid itu yang dia mendengar dari clip podcast beberapa hari lepas. Ini peluang besar untuknya — exposure lebih luas, mungkin lebih banyak tawaran selepas itu.
Dia menulis skrip penuh semangat, menyusun ayat yang pastinya membuat orang terkesan. Tapi setiap kali membaca skrip nya itu, dia merasa kosong. Ayatnya tersusun cantik, tapi bukan datang dari tempat yang sama seperti video pertama dulu.
Akhirnya dia dapat menyiapkan dua versi skrip — satu versi yang "selamat untuk menang", satu lagi versi yang lebih jujur tentang tekanan dan rasa cemburu yang dia sendiri malu nak akui.
"Aku nak menang… tapi aku tak nak menipu diri sendiri."
bisik hati kecilnya.
DI ATAS PENTAS
Dewan penuh lampu dan kamera. Apabila nama Farah dipanggil, dia merasa sedikit gemuruh, tangannya terasa sejuk tapi senyuman masih terukir di bibir.
Dia bermula dengan skrip yang selamat. Dua perenggan pertama lancar sambil penonton kelihatan mengangguk setuju. Tetapi di pertengahan, dia berhenti.
Hatinya meronta untuk berterus terang. Dia tidak mahu berpura-pura berlakon dan terus mengejar followers.
Matanya melirik ke arah penonton, kemudian dia menyambung dengan suara yang lebih perlahan.
"Saya pernah rasa gembira bila angka naik. Tapi dalam masa yang sama, saya makin letih sebab asyik banding hidup sendiri dengan orang lain. Saya tak rasa media sosial tu jahat… cuma saya yang tak pandai letak sempadan."
Seluruh dewan itu senyap sunyi, kerana ramai yang terasa benda yang sama.
PERBUALAN TANPA SOROTAN KAMERA
Selepas acara, Farah menduduk di tepi dewan. Dia tidak tahu dia akan menang atau tidak, tetapi buat pertama kali dia tak rasa terlalu takut. Aidid berlalu dan menduduk sekejap di sebelahnya.
"Tadi masa kau tukar skrip, itu keputusan spontan?"
Farah mengangguk perlahan. "Saya tak sanggup habiskan cakap benda yang saya sendiri tak percaya sepenuhnya."
Aidid senyum kecil. "Media sosial tu alat. Tapi hati manusia ni memang mudah tertipu dengan tepukan. Kalau kita tak jaga niat, kita sendiri tak perasan bila kita dah tersasar."
Perbualan itu ringkas, tetapi cukup untuk Farah faham perubahan sebenar bukan pada akaun dia — tetapi pada cara dia memandang dirinya.
RAMAI, TAPI TAK LAGI HANYUT
Sebulan berlalu, hidup Farah di media sosial tidak hilang begitu saja. Dia tetap berkongsi video, tetap membaca komen yang masuk satu demi satu, dan sesekali masih sempat merakam suasana petang di kafe kegemarannya.
Di meja makan rumah, telefon terletak jauh sedikit. Dia dengar ibu bercerita tanpa gangguan. Di bilik asrama, assignment disiapkan dahulu sebelum merakamkan apa-apa.
Aina senyum bila nampak perubahan itu. "Kau dah tak kelam-kabut macam dulu."
Farah mengeluarkan ketawa kecil. "Aku masih belajar. Cuma sekarang aku tahu, kalau hati tak tenang, sebanyak mana pun orang tepuk tangan, tetap rasa kosong."
Telefon itu tidak lagi menguasai rentak harinya; dia tidak lagi resah menunggu angka naik setiap beberapa minit seperti dahulu.